Jumaat, 3 Julai 2009
KEISTIMEWAAN TARAWIH
ANTARA keistimewaaan bulan Ramadan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya, yang tidak ada pada bulan-bulan lain ialah solat tarawih.
Ibadat itu, walaupun hukumnya sunat, namun ia merupakan peluang keemasan bagi umat Islam menambah dan menggandakan lagi amalan kebaikan mereka dalam bulan yang mulia ini.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah s.a.w. menggalakkan (umatnya) sembahyang pada bulan Ramadan dengan suruhan yang tidak keras (tegas). Sabda baginda s.a.w (maksudnya): Barang siapa mengerjakan sembahyang (tarawih) malam Ramadan dengan kepercayaan yang teguh dan (ikhlas) kerana Alah semata-mata, maka akan dihapuskan dosanya yang telah lalu.
Sembahyang yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah solat terawih berdasarkan fakta solat lima waktu termasuk dalam suruhan agama yang keras dan wajib dilaksanakan.
Hadis di atas turut mengandungi arahan Rasulullah s.a.w kepada umatnya supaya memperbanyakkan solat sunat pada bulan Ramadan, lebih banyak daripada bulan-bulan lain.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a menceritakan peristiwa Rasulullah s.a.w menunaikan solat tarawih pada permulaan bulan Ramadan.
Bagaimanapun, Nabi s.a.w tidak muncul pada malam ketiga dan keempat walaupun ramai orang yang menunggu kedatangan baginda s.a.w.
Ketika Rasulullah s.a.w datang ke masjid pada waktu pagi, baginda s.a.w bersabda (maksudnya): Aku tahu apa yang kamu buat malam tadi tetapi aku tidak datang ke masjid kerana aku amat takut kalau-kalau sembahyang (tarawih) ini diwajibkan ke atas kamu.
Hadis ini menceritakan tentang Nabi Muhammad s.a.w yang hanya datang solat tarawih secara berjemaah pada malam kedua dan ketiga kerana bimbang solat itu akan diwajibkan ke atas umatnya dan ini sudah tentu akan membebankan mereka.
Pada zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar As-Siddiq, umat Islam pada masa itu tidak lagi menunaikan solat terawih secara berjemaah dalam satu masjid.
Malah, solat tarawih pada waktu itu dilakukan sama ada secara bersendirian atau dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil.
Usaha untuk menyatukan umat Islam dalam satu jemaah ketika menunaikan solat tarawih dilakukan pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab.
Perkara ini diceritakan oleh seorang tabi’in yang lahir ketika Rasulullah s.a.w masih hidup dan juga murid kepada Saidina Umar iaitu Abdul Rahman bin Abdul Qarai.
Abdul Rahman berkata: Pada suatu malam pada bulan Ramadan, saya bersama Saidina Umar Al-Khattab telah pergi ke masjid (Madinah). Kami dapati dalam masjid itu orang ramai menunaikan sembahyang tarawih masing-masing secara berasingan. Ada yang sembahayang bersendirian dan ada juga yang berjemaah.
Saidina Umar berkata; Aku berpendapat, (kita) perlu mempersatukan orang-orang ini. Kalau disatukan dengan seorang imam sesungguhnya itu lebih baik, dan lebih mirip dengan solat Rasulullah (s.a.w).
Lalu, mereka itu disatukan dalam satu jemaah yang diimamkan oleh Ubai bin Ka’ab. Kemudian pada suatu malam (yang lain) kami datang lagi ke masjid, dan kami lihat orang ramai bersembahyang di belakang seorang imam. Lantas, Saidina Umar ra. berkata; Ini adalah bid’ah yang baik.
Sementara itu, salah satu isu berhubung solat tarawih yang dirasakan tidak perlu diperdebatkan secara meluas ialah pertikaian sesetengah umat Islam tentang bilangan rakaat solat berkenaan sama ada lapan atau 20 rakaat.
Namun, adanya segelintir pihak yang bertindak membid’ahkan antara satu sama lain, perlu rasanya dibentangkan beberapa pendapat ulama berhubung persoalan ini secara ringkas.
Imam Malik dalam kitabnya `al-Muwatta’ menukilkan: Dari Malik dari Yazid bin Ruman, dia berkata: Sesungguhnya manusia mendirikan sembahyang (tarawih) pada zaman Umar bin Khattab sebanyak 23 rakaat (20 rakaat solat tarawih dan 3 rakaat solat witir).
Sependapat dengan Saidina Umar r.a yang mengatakan 20 ialah bilangan rakaat bagi solat tarawih adalah sebilangan besar ulama dari mazhab Shafie. Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Mahzab menukilkan: Dalam mazhab kita tarawih itu 20 rakaat dengan 10 salam selain witir.
Imam Sarbini al-Khattab dalam kitab `Mughni al-Mutaj’ pula menyatakan: Dan tarawih itu 20 rakaat dengan 10 salam tiap-tiap bulan Ramadan. Demikian (dinyatakan) oleh hadis Baihaqi dengan sanad yang sahih bahawa sahabat-sahabat Nabi s.a.w mendirikan solat terawih pada masa Umar al-Khattab dalam bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat dan Imam Malik meriwayatkan dalam kitab Al-Muwatta sebanyak 23 rakaat tetapi Imam Baihaqi mengatakan bahawa tiga rakaat yang akhir ialah solat witir.
Antara ulama mazhab Syafie lain yang berpendapat bahawa bilangan rakaat bagi solat tarawih ialah 20 rakaat adalah seperti Imam Ramli (Nihayatul Muhtaj), Imam Jalaluddin al-Mahli (Al-Mahli Muhtaj) dan Imam Sayid Bakri Syatta (Ia’natut Talibin).
Sementara itu, terdapat juga segolongan umat Islam lain yang berpendapat bahawa bilangan solat terawih adalah lapan dan bukannya 20 rakaat.
Mereka yang berpendapat demikian mengemukakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Aisyah r.a sebagai dalil.
Sebahagian petikan hadis tersebut berbunyi (maksudnya): Tidak pernah Nabi s.a.w menambah pada bulan Ramadan dan bulan lainnya lebih dari 11 rakaat (juzu’ ketiga, sahih Bukhari).
Hadis ini dijadikan dalil oleh golongan yang mengatakan rakaat solat tarawih yang ditunaikan oleh baginda hanya lapan dan diiringi dengan 3 rakaat solat witir.
Hakikatnya, walau apa pun pertikaian umat Islam sama ada berhubung bilangan rakaat solat tarawih atau sebagainya, Ramadan adalah satu bulan mulia yang perlu digunakan sepenuhnya untuk mencari rahmat dan keampunan daripada Allah s.a.w.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
SUAMIKU YG TERAMAT KUSAYANGI..
INILAH IBUKU YANG AMATKU SAYANGI
DIALAH SEORANG AYAH YG AMAT PENYAYANG
ADEQ YG SELALU MERIUHKAN KEADAAN KELUARGAKU..
SATU2NYA ADEQ YG PEMALU
....WARTAWAN ASTRO...
NI BUAH HATI PENGARANG JANTUNG KAMI SEKELUARGA
USAHA, DOA DAN TAWAKAL
Jangan pernah kenal putus asa dalam kehidupan..inilah yang aku pelajari dari seseorg yg bernama suami.Hadapi semua cabaran dan dugaan dengan senyuman yg membanggakan.Kerana itu akan membuat kita lebih maju dalam kehidupan dunia dan akhirat.Seimbang dalam percaturan hidup,carilah keberkatan dalam usaha kita.
INSYA'ALLAH........
;
Tiada ulasan:
Catat Ulasan