Sebagai agama yang syumul (menyeluruh), Islam telah mengaturkan bagi umatnya adab-adab dalam berjanji. Antara adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mngucapkan lafaz “insya Allah” apabila berjanji. Suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, besok pagi” melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata) “Insya Allah” (jika dikehendaki Allah)”.
(Surah Al-Kahf: 23-24)
Ayat yang disebutkan di atas turun ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya oleh orang Quraisy tentang roh, Ashab Al-Kahf dan Dzu Al-Qarnain, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjanji akan menjawabnya pada keesokan harinya (dengan janji secara pasti) dan mengharapkan Malaikat Jibril akan datang membawa wahyu. Hasilnya Jibril tidak datang sehingga lima belas hari lamanya. Kekesalan Baginda menantikan sehingga lima belas hari itu dapatlah difahami sebagai pengajaran supaya tidak mengikat janji secara pasti, tetapi hendaklah mengatakan “insya Allah”, kerana kekuasaan yang tertinggi adalah di tangan Allah. Hal tersebut memberatkan Rasulullah dan menyebabkan Baginda dituduh sebagai pembohong oleh orang-orang Quraisy. (Al-Qurtubi: 10/385, Ar-Razi: 21/92)
Maka Allah Ta‘ala dengan jelas menurunkan ayat ini sebagai petunjuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan umatnya supaya menyerahkan segala perkara kepada Allah, terutama apabila hendak melakukan sesuatu pada masa yang akan datang, hendaklah disertakan dengan perkataan “insya Allah” (jika dikehendaki Allah). Kerana Allah jualah yang mengetahui apa yang akan berlaku selepas itu dan Dialah jua yang berkuasa mengizinkannya atau menghalangnya.
Sehubungan dengan itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil dengan penuh perhatian mengenainya sehingga suruhan melakukan sesuatu dengan menyatakan pengakuan “insya Allah” itu ditekankan oleh Baginda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Nabi Sulaiman bin Daud ‘alaihissalam berkata: “Demi sesungguhnya, saya akan mendatangi pada malam ini semua isteri-isteriku seramai seratus orang di mana masing-masing daripada mereka itu akan melahirkan seorang anak laki-laki yang menyertai jihad di jalan Allah”. Lalu Malaikat berkata kepadanya: “Katakanlah: Insya Allah”, namun Sulaiman tidak mengatakannya kerana lupa, lalu dia mendatangi isteri-isterinya dan tidaklah lahir daripada mereka kecuali salah seorang isterinya yang melahirkan separuh manusia. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Andainya dia berkata: “Insya Allah”, tentulah dia tidak melanggar sumpahnya dan itu akan lebih mendatangkan harapan bagi hajatnya”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini memberi pengajaran kepada kita bahawa dengan menyertakan perkataan “insya Allah” ketika berjanji itu boleh menyelamatkan orang yang berjanji dari termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memungkiri atau mengingkari janji.
Soalnya apakah ucapan “insya Allah” itu diiktibarkan sebagai janji yang mesti dipenuhi mengikut hukum syara‘?
Kebiasaan sebahagian orang didapati apabila membuat janji akan mengatakan “insya Allah” dengan tujuan tidak memberati apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain lafaz “insya Allah” itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji tersebut. Sifat sedemikian adalah bertentangan dengan kehendak sebenar hukum syara‘.
Perlu difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, manakala ucapan “insya Allah” itu adalah suruhan Allah dan RasulNya ketika berjanji, sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur‘an dan hadith Rasulullah Sahallallahu ‘alaihi wasallam. Maka disini ada dua perkara yang berasingan dan saling berhubung kait di antara satu sama lain iaitu, kewajipan menunaikan janji dan suruhan ucapan dengan lafaz “insya Allah” ketika melakukan janji.
Ini bererti ucapan “insya Allah” itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Bahkan perkataan “insya Allah” itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munafiq.
Walau bagaimanapun menyebut perkataan “insya Allah” dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah jua. Al-Qur‘an juga mengajar umatnya apabila terlupa menyebut lafaz “insya Allah” ketika itu hendaklah kita menyebutnya sebaik-baik sahaja teringat. Hal ini diperintahkan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan ingatlah serta sebutkanlah akan Tuhanmu jika engkau lupa”.
(Surah Al-Kahf: 24)
Dari apa yang telah dijelaskan diatas dapat diambil pengajaran bahawa menyebut lafaz “Insya Allah” di samping usaha menyempurnakan mana-mana janji itu adalah suatu tuntutan agama Islam. Dengan melakukannya kita terhindar daripada sifat-sifat orang munafiq.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan