ISLAM memang menggalakkan umatnya memiliki harta yang banyak untuk menjamin anggota keluarga dan keturunannya agar sentiasa hidup senang bahagia.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Biarlah kamu mati meninggalkan harta untuk anak kamu. Ia adalah lebih baik daripada anak kamu meminta-minta kepada orang lain selepas kamu mati."
Namun, rezeki yang dimiliki perlu diperoleh daripada sumber halal, sejajar dengan maksud firman Allah:
"Makanlah kamu daripada rezeki yang halal dan bersih." – (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Sehubungan itu, Islam melarang umatnya mencari rezeki dan memperoleh harta daripada sumber haram, seperti rasuah, mencuri, menipu, menganiaya dan melakukan kerja haram.
Antara tanda rezeki diperoleh tidak berkat ialah:
1.Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak dan bertimbun.
2. Harta yang diperoleh menerusi jalan tidak baik mudah habis dan terhakis tanpa diduga dan tidak disedari.
3. Berasa sombong dan tamak hingga bernafsu untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga tidak mementingkan ibadah.
4. Berasa kedekut dan enggan bersedekah atau mengeluarkan zakat kerana menganggap perbuatan itu merugikan.
5. Sering ditimpa bencana dan musibah yang tidak disedari. Ini kerana setiap perbuatan mungkar akan mendapat laknat daripada Allah.
6. Ibadah tidak sempurna dan sukar menerima pendidikan terutama berkaitan agama.
Justeru itu, umat Islam harus merenung dan mengambil iktibar jika berlaku insiden yang terpaksa mengeluarkan wang seperti kereta atau motosikal baru rosak, alat elektrik di rumah tidak berfungsi, anak tiba-tiba sakit dan memerlukan rawatan yang memerlukan belanja yang tinggi, dompet, telefon bimbit dan barang kemas hilang atau kena kebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan